Salam,
Minggu ini amat memenatkan dan memerah seluruh kekuatan diriku, selepas mengadili pertandingan NILAM daerah Kluang, bergegas ke Hotel Landmark Batu Pahat untuk menjadi Fasilitator Kursus Blog untu Majlis Guru Cemerlang Negeri Johor. selama 2 malam 3 hari bertungkuslumus dan memberikan fokus seratus peratus bersama-sama semua peserta Alhamdulillah kursus dapat disempurnakann dengan sebaik mungkin. hati bersyukur kerana semua GC yang hadir bersungguh-sungguh untuk menyiapkan blog masing-masing. malam terakhir kursus dapat panggilan dari Dungun Terengganu. Bapa angkatku sedang sakit kuat. katanya ingin sangat berjumpa dengan ku. tak sampai hati nak tinggalkan rakan-rakan di Landmark Batu Pahat. Terus bersama pesertan hingga akhir dan pulang ke kluang jam 2.30 petang. Berehat sebentar di rumah jam 3.30 bertolak ke Dungun Terengganu bersama dua anak lelakiku. Hati gusar melihatkan keadaan bapa angkatku. Hanya air mata menyambut kami berdua. Beberapa kali dia dan aku meminta maaf , halalkan segalanya, aku pasrah dengan keadaanya. Mudah-mudahan Allah panjangkan umurnya dan kalau pergi biarlah mati dalam keadaan beriman. Dalam kesakitan ada kegembiraan diwajah letihnya, ada senyum simpul yang panjang. Alhamdulilah.
Kesempatan yang sedikit cuma aku membawa anak-anak bujangku melewati kampung Sungai Buaya, kampung Bijanga dan melalui jambatan Dungun ke Seberang Pintasan. Indah pemandangan di sana. Singgah sebentar di Pasar Dungun. Alhamdulilah anak-anak murid yang kutinggalkan belasan tahun masih lagi mengingati aku, bersalam dan menyatakan tu Cikgu aku cikgu Ismail Yong. Syukur mereka masih lagi mengingati aku walau pun lama tak jumpa. Segalanya bermain dalam fikiran, berjuangan mencari rezeki ditempat orang terasing jauh dari negeri Johor.bersama anak-anak nelayan , melayan kerenah mereka, membelikan mereka buku, pensil,kasut , membayar yuran sekolah mereka, melatih mereka bermain bola sepak, olahraga dan aktiv berpasukan pengakap, mengajar mereka yang lemah membaca , bekerja sampai lewat malam membangunkan pusat sumber sekolah, mengajar guru-guru dan anak-anak muridku komputer, menjadi jaga, tukang kebun sekolah dan segala-galanya.
Anak-anak muridku kuanggap seperti anak-anak ku, mereka makan, tidur, melepak, menonton tv bersama-sama ku rumah ku terbuka untuk mereka semua.Kadang-kala memancing bersama. Rapat dan akrabnya kami. Zulkanal, Azmi, Marwan ,Azizi, Khamis, dan mamat dan beberapa nama lagi yang aku dah lupa tapi tak melupakan wajah kecil mereka. Tapi hati ini amat tersentuh pabila mendapat tahu hampir kebanyakan anak murid ku terjebak dengan dadah, malah ada yang mati kerana HIV. Sedihya kerana aku tak dapat memanjangkan kasih sayangku, apabila mereka telah menjejakkan kaki ke sekolah menengah.Tiada tempat untuk mereka bergantung harap dan mencurahkan kasih sayang.Lebih-lebih lagi setelah aku melanjutkan pelajaran ke Universiti. Mereka kutinggalkan . Pasrah dengan kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka berjaya keluar dari kepompong lingkaran dadah dan seumpamanya. Mudah-mudahan dalam keadaan begini aku masih lagi Cikgu Ismail Yong yang dulu, bersemangat, penuh kasih sayang, sentiasa memberikan motivasi, bersedekah dan tak melupakan diriku yang sebenarnya. sesungguhnya ya Allah jangan kau ubah diriku yang sebenarnya ini. Ingatkanlah aku tentang kasih sayang, amanah dan tanggungjawab yang ku pikul sebagai seorqang guru.
Perjalanan melewati usia, membawa anak-anak bujangku meninjau kembali rumah quaters guru di hadapan SK Kuala Dungun, melawat kembali sekolah pertamaku tempat bertugas, menjengok kembali Pusat Sumber dan Makmal Komputer yang ku hasil dengan titik peluh tangan ku, melewati hijau padang tempat melatih anak-anak murid ku menendang bola. Berjumpa dengan rakan lama membuatkan aku semakin sedar terlalu banyak kenangan yang ku tinggalkan di Dungun, Terengganu . Menyusuri rumah-rumah papan yang telah belasan tahun tak berubah, wajah-wajah tua yang termenggu di tangga, wajah-wajah mokcik yang manis menyapa. air mataku gugur berderai kerana mereka terkapai-kapai untuk meneruskan kehidupan lama seperti dulu ketika aku masih muda, semua tak berubah. wajah-wajah muram dan tak bermaya mereka. Dan lincahnya wajah kecil itu menendang bola terlerai di sebalik putihnya pasir pantai Telok Lipat yang ombaknya menderu ganas memukul pantai. Mudah-mudah anak-anak murid yang masih ada di Pasar Dungun tidak terlerai jasadnya angkara dadah durjana.
Terima kasih Dungun kerana terus menjadikan aku seperti dahulu lagi.
0 comments