Pembudayaan Cinta Buku dan Membaca di Sekolah
Rata-rata di negara yang lebih maju, pembudayaan cinta buku dan membaca santai akan ditanam secara serius sejak di peringkat sekolah rendah.Ini dapat diperhatikan melalui seberapa banyak program berkaitan buku, penulis, perpustakaan dan pelbagai kegiatan membaca yang dianjurkan di peringkat sekolah rendah. Laporan mengenainya dapat diikuti di dalam majalah, akhbar mahupun jurnal akademik.
Kepentingannya terbukti melalui satu kajian yang dijalankan oleh British Library dan Joint Information Systems Committee (JISC) yang menunjukkan tahap kunjungan pelajar peringkat ijazah ke perpustakaan juga bergantung kepada kebiasaan mereka mengunjungi perpustakaan semasa kanak-kanak.
Ini dapat dijadikan suatu pedoman bagi ibu bapa dan pihak sekolah di Malaysia supaya lebih bertungkus-lumus menanamkan semangat mencintai buku dan membaca semasa di peringkat sekolah rendah lagi. Bak kata pepatah Melayu, buluh harus dilenturkan semasa masih rebung.
Terdapat banyak idea menarik yang boleh dicuba di peringkat sekolah rendah di negara kita. Asalkan kita bersedia bergandingan usaha, perbelanjaan dan komitmen untuk mencapainya.
Salah satu daripadanya adalah buah fikiran kreatif seorang guru perpustakaan bernama Suzanne Hall. Kelab buku di bawah pimpinannya telah berjaya meraih penyertaan pelajar yang membanggakan setelah beliau mengubah suai corak aktiviti kelab buku.
Pada setiap tahun, 8 judul buku yang sesuai akan dipilih sebagai bacaan wajib peserta kelab buku di sekolah. Berdasarkan buku-buku ini, banyak aktiviti menarik telah diadakan.
Contohnya mencari bahan terpakai berdasarkan benda-benda yang disebutkan di dalam novel. Mana-mana pelajar yang dapat mengumpulkan paling banyak benda yang disebutkan dalam sesebuah buku, dia akan memenangi hadiah.
Sesekali ia turut melibatkan jamuan seperti kes sebuah buku berjudul Homeless Bird yang berlatarbelakangkan India. Berilhamkan buku itu, seorang daripada ibu pelajar telah memasak makanan India untuk jamuan kesemua ahli kelab. Tidak lama selepas itu, pelajar-pelajar lain turut membawa pelbagai makanan India seperti roti naan, pakora dan burfi.
Aktiviti lain yang diilhamkan daripada buku-buku yang dipilih adalah menonton video atau filem. Biasanya aktiviti ini akan dijalankan setelah tamat waktu persekolahan, disusuli jamuan snek untuk para pelajar.
Manakala pakar daripada luar akan dijemput apabila bersesuaian dengan tema buku. Misalnya semasa membaca sebuah buku tentang usaha pemuliharaan burung hantu berjudul Hoot, seorang pakar tentang burung hantu telah dijemput ke sekolah membawa dua ekor burung hantu untuk ditunjukkan kepada pelajar.
Lawatan sambil belajar tidak kurang popular di kalangan para peserta kelab buku kelolaan Suzanne Hall. Mereka pernah mengadakan lawatan ke panggung wayang untuk menonton filem-filem tentang China, Alaska, Mesir dan gunung berapi yang berkaitan dengan buku yang dibaca.
Mereka juga pernah mengadakan aktiviti memanjat batu (untuk buku Raging River) serta mengikuti bengkel arkeologi untuk sebuah buku berjudul Akhenatan Adventure. Sebuah buku lain, The Emily Carr Mystery, telah berjaya memberi inspirasi menganjurkan maraton 18 jam ala Amazing Race.
Semua ini adalah atas usaha yang giat dilakukan oleh para guru perpustakaan di peringkat sekolah rendah. Sudah tentu kerjasama ibu bapa juga penting dalam memberi galakan kepada anak masing-masing.
sumber;http://pendidikmy.net/2010/09/04/pembudayaan-cinta-buku-dan-membaca-di-sekolah/
0 comments