Tugas Guru Perpustakaan dan Media menjana tabiat membaca di kalangan pelajar sekolah.
Purata rakyat Malaysia baca dua buku setahun
Oleh Ruhaiza Rusmin harian metro 1/2/2011
PERSAINGAN...terlalu banyak persaingan bahan penerbitan picisan di pasaran menyebabkan bahan bacaan ilmiah lesu dan terpinggir.
USAHA melestarikan kecemerlangan sektor pendidikan negara bukan hanya memerlukan kewibawaan dalam melahirkan golongan bijak pandai malah merangkumi kepelbagaian aspek lain.
Ukuran pencapaian bukan saja diukur melalui kejayaan mengeluarkan pensyarah atau graduan berstatus cemerlang, malah dinilai melalui aspek penghasilan bahan bacaan ilmiah.
Sayangnya, penghasilan bahan bacaan ilmiah yang dianggap tulang belakang dalam proses pembudayaan ilmu itu masih gagal menepati cita rasa masyarakat yang lebih selesa dengan bahan bacaan ringan serta dianggap mampu merehatkan minda.
BANYAK PILIHAN...majikan kini mempunyai banyak pilihan, mereka yang menepati kualiti saja bakal diterima.
BANYAK MAKLUMAT...buku bacaan ilmiah mampu melestarikan proses penjanaan ilmu menjadi lebih kritis dan profesional.
Ini sekali gus bagai membenarkan tanggapan bahawa bahan bacaan ini memang tidak mampu dikomersialkan, namun dihasilkan bagi memenuhi tanggungjawab golongan tertentu semata-mata.
Persoalannya, mengapakah sukar menembusi minat masyarakat dan warga institusi pengajian tinggi, walhal kandungannya cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kepentingan wacana pengembangan ilmu berteraskan pendidikan sepanjang hayat.
Pakar psikologi kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Sulaiman Selamat berkata, kecenderungan mahasiswa dan generasi muda memilih bahan bacaan ringan kerana terdedah dengan budaya generasi baru yang dilahirkan dalam persekitaran mudah, mewah, pantas dan selesa.
Menurutnya, budaya ini menjadikan mereka generasi malas berfikir, kurang berilmu dan hanya memberi fokus pada pendidikan berorentasikan akademik dan peperiksaan semata-mata.
"Inilah timbal balas daripada arus kemodenan dan peralihan zaman yang memperlihatkan semua aspek hanya ditangani secara mudah dan tanpa inisiatif. Hasilnya, banyak perlu dikorbankan termasuk ilmu pengetahuan.
"Budaya membaca di kalangan masyarakat sangat rendah. Bayangkan, jika membaca bahan berbentuk ringan pun tiada minat, bagaimana pula bahan ilmiah?
"Senario ini membimbangkan, apatah lagi sebahagian besarnya adalah golongan muda yang tentunya terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Jika kurang membaca, apakah lagi aspek yang boleh dijadikan taruhan?" katanya.
Berdasarkan kajian dilakukan Perpustakaan Negara pada 2005, secara purata keseluruhan rakyat Malaysia membaca dua buku setahun berbanding purata sebelum ini dua halaman buku setahun , terendah antara negara di Asia.
Dalam hal ini, rakyat India mendominasi dengan 35, Thailand (25) dan Indonesia (18).
"Dari situ, kita dapat melihat bagaimana penerimaan masyarakat terhadap aktiviti membaca. Jadi bagaimana ingin melonjakkan diri menjadi masyarakat berilmu jika aktiviti mudah ini sukar dilaksanakan?" katanya.
Pengarah Penerbit UTM Press, Profesor Hishamuddin Jamaluddin berkata, bahan bacaan ilmiah bukanlah menjadi kegemaran kerana fokus utama yang disasarkan lebih menjurus kepada keperluan pemprosesan ilmu berbentuk serius dan terhad.
Secara amnya, mereka lebih menggemari bahan berbentuk ringan dan santai kerana proses pemahaman maklumat menjadi lebih mudah, selain tidak memerlukan ketelitian mendalam bagi memahami fakta.
"Tidak hairanlah, bahan ilmiah sukar menembusi permintaan pasaran berbanding bahan bacaan lain kerana 'sifatnya' yang sangat serius, padat serta banyak membabitkan fakta saintifik.
"Jika diberi pilihan, ramai menolak bahan bacaan ilmiah kerana tidak mahu membebankan otak dengan penjanaan maklumat sangat kompleks. Namun tidak boleh salahkan mereka kerana pilihan di tangan individu.
"Cuma menyedihkan bahan ini seperti terpinggir jika dibandingkan dengan bahan lain berbentuk picisan. Bahan bacaan ilmiah cukup menguji kemampuan intelek seseorang selain menaikkan prestij pengetahuan ke tahap lebih baik," katanya.
Lambakan bahan ilmiah di pasaran kian membimbangkan golongan intelektual kerana bukan saja permintaan berkurangan malah merencatkan industri penulisan subjek kritikal kerana tumpuan lebih diberikan kepada bahan bacaan yang mampu menjana pulangan lumayan.
Dengan kata lain, bahan ilmiah sukar dikomersialkan, sekali gus menghadapi masalah lambakan di pasaran mahupun pengeluaran terhad kerana permintaan yang sedikit.
Suatu ketika, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengehadkan cetakan buku untuk sesuatu tajuk kepada 1,000 hingga 3,000 naskhah saja berbanding 3,000 hingga 5,000 naskhah pada era 80-an.
Mengulas mengenai kelesuan minat dan permintaan, beliau mengakui tiadanya daya tarikan terhadap kandungan mahupun cara susun atur selain penggunaan bahasa Inggeris sebagai antara faktor penyumbang terbesar.
Bagaimanapun, katanya, faktor itu sukar dielak kerana penghasilan bahan bercetak berkenaan dibuat atas sasaran membudayakan peningkatan ilmu secara profesional, berilmiah dan fokus.
"Buku ilmiah memang membosankan, terlalu profesional dan korporat. Namun, itulah identitinya serta sukar dielak kerana tujuan ia diterbitkan untuk membudaya wacana ilmu serta meningkatkan daya intelek individu.
"Bagaimana boleh dikatakan ilmiah jika penyampaiannya dilakukan secara santai? Itu tidak akan mencapai matlamat penulisannya selain akan memporak-perandakan proses pengembangan ilmu yang berpaksikan fakta serta penyelidikan.
"Mesti ada perbezaan, cuma kehendak masyarakat suka kepada buku berbentuk ringan mengehadkan penjualan dan permintaan biarpun susun aturnya menarik," katanya.
"Budaya masyarakat tempatan yang sukar membaca menjadikan bahan ilmiah semakin terpinggir, ditambah pula tanggapan hanya untuk golongan 'pandai'. Kebanyakannya pula dalam bahasa Inggeris.
"Masyarakat menjadikannya alasan untuk menolak sedangkan kini banyak bahan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Hakikatnya, kita belum terbuka berbanding masyarakat antarabangsa yang sentiasa teruja dan terdedah dengan pelbagai bahan bacaan berat.
"Namun, mengatakan kita langsung tidak suka, itu tidak benar tetapi jumlahnya kecil," katanya.
Katanya, bahan ilmiah berkaitan pertanian, landskap dan reka cipta dan perubatan sentiasa dicari.
"Mungkin kerana mudah difahami, bergambar atau lama di pasaran menjadikannya diterima dalam lingkungan masyarakat termasuk sebagai bahan rujukan.
"Usaha lebih padu perlu dilakukan bagi menjadikan bahan ilmiah diterima selain mendidik masyarakat jangan terlalu taksub pada bahan picisan," katanya.
>INFO
> PERANGKAAN 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun berbanding 180,000 judul di China, 116,000 (United Kingdom), 60,000 (Amerika Syarikat) dan 45,000 (India).
Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun itu, hanya 1,273 atau 32 peratus bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.
> KINI kebanyakan institusi pengajian tinggi awam mempunyai bahagian penerbitannya sendiri selaras usaha memperkaya dan memperbanyakkan lagi penerbitan bahan berbentuk ilmiah kepada masyarakat.
Antaranya Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
0 comments