Membicarakan mengenai isu plagiarisme amatlah menarik untuk diketengahkan.Memang benar ,integriti dan keaslian merupakan satu kemestian dalam dunia akademik.Plagiarisme merupakan satu 'dosa besar' dalam dunia pendidikan terutamanya peringkat menara gading.Apabila kita membicarakan isu plagiarisme,kita tidak bboleh lari membicarakan kualiti ilmu yang diperolehi.Isu ini perlu dilihat dengan skop yang lebih besar kerana plagiarisme bukan hanya berlaku di Malaysia,tetapi turut terjadi di mana-mana sahaja.
Kes-kes terpencil di Malaysia sepatutnya dijadikan teladan dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak. Apa yang penting ialah mencari jawapan untuk memastikan ia tidak berulang.Integriti akademik bukanlah setakat membicarakan tentang plagiarisme.Lihatlah dari sudut yang lebih holistik iaitu bagaimanakah untuk membudayakan penghargaan terhadap ilmu pengetahuan dalam masyarakat kita.Inilah penyelesaian jangka panjang untuk membendung sebarang salah laku yang membawa kepada plagiarisme.Kalau direnung kembali,hal-hal yang membawa kepada plagiarisme dipandang mudah seperti membuat salinan (fotostat) mana-mana buku dan makalah merupakan satu lagi 'dosa' dalam dunia akademik kerana melanggar hak cipta penerbit dan penulis tetapi amat jarang sekali ia dibicarakan.Sedangkan di negara-negara maju,tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang membuat salinan ke atas sebarang buku dan makalah.
Di Malaysia, perkara ini sudah menjadi kebiasaan kerana membuat salinan lebih murah daripada membeli buku atau makalah.Jadi,patutkah kita hanya sekadar membicarakan tentang plagiarisme sahaja di peringkat universiti sedangkan sejak kecil lagi kita dididik untuk tidak menghargai ilmu dengan membuat salinan ke atas buku yang ditulis oleh penulis-penulis berdedikasi?Budaya menghargai ilmu juga tidak hanya sekadar mementingkan kejayaan mendapat seberapa banyak 'A' dalam peperiksaan.Tetapi inilah berlaku dalam masyarakat kita.Apabila seseorang pelajar memperolehi paling banyak 'A',dia diakui hebat dalam dunia akademik.Sementara yang paling sedikit mendapat 'A' dipinggirkan.Walhal,budaya ilmu bukan setakat berorientasikan peperiksaan semata-mata tetapi,memerlukan pencernaan dan penguasaan ilmu melalui idea-idea yang kritis dan boleh membantu masyarakat.Stigma mengakui kehebatan seseorang pelajar mengikut ukuran paling banyak 'A' perlu diubah dalam masyarakat kita.Stigma inilah menyebabkan apabila berada di menara gading,pelajar terbawa-bawa pendekatan berorientasikan peperiksaan.Apabila ini terjadi,pencernaan ilmu pengetahuan melalui perbincangan amat susah dicapai oleh pelajar yang hanya bersandarkan pada pengukuran kejayaan akademik berorientasikan peperiksaan semata-mata.Mereka hanya mengharapkan segala ilmu disuap sebagaimana yang dilakukan ketika peringkat sekolah lagi.Akhirnya,apabila tertekan dengan desakan masyarakat dan ibu bapa yang inginkan kejayaan paling banyak 'A' sahaja,sindrom potong dan tampal akan berlaku.Begitu juga bagaimana untuk melahirkan seseorang yang benar-benar berkeupayaan untuk memberi pandangan berbeza tetapi bernas berbanding orang lain ialah banyak bergantung pada tahap pembacaannya.
Kita semua sedia maklum, kadar pembacaan rakyat Malaysia amatlah rendah dan statistik menggambarkan rakyat kita hanya sekadar membaca dua buah buku setiap tahun.Bagaimanakah ingin melahirkan idea-idea yang dikatakan 'asli' jika tahap pembacaan rakyat amat rendah?Ini tidak termasuk,pembacaan daripada jurnal-jurnal berwasit yang dikategorikan sebagai bahan bacaan berat sedangkan penemuan-penemuan daripada kajian-kajian penyelidik dan pensyarah dalam jurnal-jurnal ini mempunyai ilmunya tersendiri yang amat berguna untuk masyarakat.Namun,pilihan yang diambil ialah membaca bacaan ringan yang mempesonakan tetapi kurang membantu dalam perdebatan isu-isu semasa bagi menyelesaikan masalah masyarakat.Seringkali universiti merupakan gedung ilmu yang patut dirasai dan dihargai serta terbuka luas untuk keseluruhan masyarakat.Sebagai gedung ilmu,universiti bukanlah sekadar sebagai kilang untuk memenuhi industri semata-mata tetapi bertanggungjawab untuk kelangsungan kehidupan manusia yang sememangnya amat memerlukan ilmu sebagai panduan hidup.Oleh itu, peranan untuk membudayakan dan menghargai ilmu memerlukan transformasi masyarakat secara menyeluruh dan dipupuk sejak bermulanya setiap insan mengenali huruf dan angka lagi.
0 comments